Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
GADONG, Khamis, 12 Februari. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta Jabatan Pendidikan Swasta dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengadakan Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja serta Program Semarak Pengibaran Bendera bagi sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42, Tahun 2026.
Majlis berkenaan diadakan pada pagi tadi secara serentak di keempat-empat buah daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim.
Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa.
Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Md. Zinin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera kecil meja kepada para pelajar sekolah berkenaan.
Majlis disusuli dengan bacaan ikrar oleh para pelajar sekolah sebelum diakhiri dengan persembahan koir lagu-lagu patriotik.
Penganjuran majlis seumpama berkenaan bertujuan untuk menyemai dan memperkukuh semangat kecintaan kepada negara serta patriotisme dalam kalangan warga sekolah, khususnya para pelajar, di samping memupuk jati diri dan semangat perpaduan selaras dengan aspirasi negara bersempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42.